Wednesday, June 24, 2015

Pakcik Sri Langka

Hari ketiga aku diserang asma. Bukan perkara luar biasa bagiku untuk sakit ini, ianya sudah menjadi sebahagian hidupku. Tetaplah aku berdoa terus-terusan agar sakit ini sembuh dan takkan datang menggangu rutin harianku lagi. Biarpun ada doktor dan sebahagian daripada pembacaanku menyatakan bahawa asma bukan satu penyakit yang boleh sembuh tetapi hanya menjadi dorman ketika kita menjaga segala aspek yang boleh membuatkan serangan asma berlaku tetaplah kuasa penyembuh segala penyakit itu adalah DIA yang maha kuasa.

Bukankah Allah telah berfirman, yang mafhumnya bahawa setiap penyakit itu pasti ada ubatnya dan penyembuh untuk segala penyakit itu datangnya dari Allah dan kita hanyalah berusaha semampu dan sedayanya untuk menyembuhkan penyakit ini.

Berbalik kepada serangan asmaku, setelah berusaha dengan pelbagai cara, akhirnya aku gagahkan diri ke Hospital Selayang. Di sinilah pertemuan antara Pakcik Sri Langka denganku. Pakcik yang peramah dan memandang tinggi pada kemudahan dan kecekapan Hospital ini. Seperti juga aku, Pakcik ini menghidapi asma dan boleh dikatakan agak teruk berbandingku. Seawal bicara kami, ianya berkisar tentang sejarah asma yang kami hidapi. Bukanlah untuk berbangga diri tetapi sekadar berbasa-basi.

Ihsan En Google

Pakcik sangat mengambil berat akan sakit asma ini dan telah pun mengikuti rawatan berkala di sebuah universiti tempatan. Beliau juga turut menasihati aku agar tidak 'culas' dalam menjalani rawatan. Aku hanya mampu tersenyum dan terbayang akan pelbagai rawatan yang telah dicuba. Betapakan tidak, sehingga jauh di Kelantan pun aku sudah jejaki untuk merawat sakit asma ini. Allahu... betapa besar pengorbanan Ibu dan Abah. Berapa banyak wang dihabiskan untuk aku sahaja.

Aku juga berpeluang menceritakan pengalamanku menjalani rawatan berkala di Institut Respiratori Negara. Namun, aku menghentikan rawatan ini kerana aku merasakan perubahan yang berlaku adalah semakin teruk. Hampir setiap hari aku mengalami asma yang teruk. Ditambah lagi aku terpaksa menyusahkan Abah untuk setiap temujanji bersama doktor di IRN ini. Nekad, aku memaklumkan kepada Abah untuk menghentikan rawatan ini dan meneruskan rawatan secara tradisional. Alhamdulillah, keadaanku semakin baik dan aku kembali meneruskan pengajianku yang tertangguh satu semester.

Saat aku menceritakan pengalamanku di IRN ini, Pakcik mencelah sebelum sempat aku menyelesaikan ceritaku. Ceritaku pada Pakcik terhenti pada aku berhenti mendapatkan rawatan. Komen Pakcik pada tindakan ini, " Naughty you" dan aku hanya tersenyum. Namun, aku faham Pakcik cuma bimbang kerana jika dibiarkan dan tidak mengambil langkah awal, asma boleh membawa sakit yang lebih kronik seperti barah pernafasan dan pneumonia.

Sesungguhnya sakit ini memberi hikmah kepada kita. Sekiranya kita tidak diuji dengan sakit, barangkali kita tidak mengerti erti sihat dan kurang rasa bersyukur dengan nikmat sihat yang dimiliki.

Pertemuan dengan Pakcik membuatku insaf. Mungkin ada kekhilafan dan kelalaian yang aku lakukan dan Allah memberi peringatan ini dengan menghadirkan asma. Kerana itu aku dipertemukan dengan Pakcik Sri Langka yang merendah diri dan peramah untuk aku belajar sesuatu dari epilog sebuah kehidupan. Setiap apa yang berlaku, bukanlah secara kebetulan tetapi telah teratur cantik oleh-Nya.

Semoga kita lebih menghargai nikmat-Nya.

Nota:
1-Flashback 2014
2-Semoga Pakcik baik-baik sahaja
3-Ketika berbicara dengan Pakcik, menginsafi betapa berteraburnya Bahasa Inggeris. Tak fasih berbicara setelah lama tak mengaplikasikannya *nangis*
4-Draft yang tersimpan lama baru selesai tulis