Wednesday, October 13, 2010

sepetang bersama mualaf makeup artis

kali ini. mengambil kesempatan berkongsi cerita dari blog orang lain. 100%copy paste..takde tokok tambah. boleh layari blog beliau di:http://warungkampung.wordpress.com/2010/10/12/sepetang-bersama-muallaf-makeup-artist-dia-mencarimu-di-situ-pt3/

....sama-sama kita amik pengajaran...
moga iman kita kukuh di jalan penuh liku....*ya Allah kuatkan hati hambamu ini.amin*

[Memandangkan blog ini mendapat feedback yang positif terhadap artikel-artikel 'Dia mencariMu di situ', dengan sukacitanya aku ingin menambah lagi satu kisah pertemuanku dengan muallaf Jepun suatu ketika dulu. Walaupun tiada kaitan dengan peranan masjid dalam kisah ini secara langsung, aku ingin pinjam tajuk kawanku ini sekali lagi. Semoga mendapat manfaat. Nak berkongsi, tak perlu minta izin, copy paste saja. Tetapi sertakan link blog saya ya! Terima kasih.]

Sumber: www.phototravels.net

Aku berada di bilik yang dipenuhi Muslim yang berbangsa Jepun, di bilik gerakan rasmi Japan Muslim Association (JMA), satu-satunya persatuan di mana kebanyakan ahli penggeraknya adalah berketurunan Jepun. Dengan beberapa orang rakan Malaysia yang lain, kami mula memperkenalkan diri seorang demi seorang. Saudara Jepun pun memperkenalkan diri. Ramai yang sudah berusia, malah salah seorang daripadanya berbangga menyatakan, dengan umur beliau mencecah lebih 90 tahun, dia merupakan Muslim Jepun tertua!
“MasyaAllah, dengan usianya, masih mampu berjalan tak bertongkat, malah ke sana sini tanpa perlu bantuan orang. Hebat!” bisikku.
Setelah senior-senior memperkenalkan diri, barisan pemuda mereka menyambung pengenalan diri.
“Saya Yamada. Saya memeluk Islam setelah melanjutkan pelajaran di Mesir kerana tertarik dengan konsep yang di bawa Islam,” ujar saudara Jepun di sebelah kananku.
Ramai juga khabar yang aku dengar tentang pelajar Jepun yang memeluk Islam setelah melanjutkan pelajaran dalam bidang ini di luar negara. Tak kurang juga mereka yang memeluk Islam di Malaysia.
Namun, dalam banyak-banyak hadirin di situ, aku begitu tertarik dengan mamat di sebelah kiriku. Pakaiannya segak bergaya. Suit yang dipakai pun tampak mahal, sesuai dengan imej mudanya. Rambutnya panjang sampai ke bahu, tetapi sebahagian rambutnya diikat kemas. Sungguh stylo!
“Nama saya Ozaki. AlhamdulIllah, saya memeluk Islam setahun yang lepas…”
Aku tunggu sehingga selesai sesi pengenalan, dan mula berbisik dengannya.
“Erm, saudara Ozaki, boleh saya tahu apa pekerjaan awak?”
“Saya adalah professional makeup artist!”
Oh, patutlah smart semacam!
“Erm, boleh saya tahu tak artis mana yang pernah bermakeup dengan Ozaki-san? Heh heh.”
“Hm, sepatutnya benda ni confidential, tetapi saya beritahulah yang pernah buat dengan saya. Antaranya Mrs XXX dan Mrs YYY.”
Oh, yang Mrs XXX itu aku tak kenal, tetapi Mrs YYY itu aku kenal sangat. Dia adalah artis veteran dan terkenal kerana mukanya cantik dan awet muda, walaupun sudah berusia. Mungkin kalau di samakan dengan artis Malaysia, terkenalnya umpama Syarifah Aini!
Wow, memang dia ini bukan calang-calang makeup artist!
Tetapi dari situ timbul satu lagi persoalan yang lebih ingin aku tahu: Bagaimanakah dari dunia glamour tersebut, dia berjaya menjumpai Islam?!

Sungguh hidayah itu datangnya dari Allah. Bentuknya pula berbagai. Oleh kerana itulah juga, aku amat tertarik dengan bagaimana Ozaki-san menjumpai Islam, disebalik dunia artis dan hiburan, antara tempat yang umumnya sangat jauh dengan Islam.
Aku memberanikan diri untuk bertanya.
“Macamana saudara Ozaki boleh dapat hidayah untuk memeluk Islam?”
“Hm, nantonaku! (entah, tiba-tiba je!)”
“Eh, macamana pula boleh macam tu?”
“Begini. Saya selama ni tak pernah langsung dengar tentang Islam, jauh lagi untuk timbulkan minat untuk mendalaminya,” dia mulakan penerangan.
“Tetapi, entah kenapa, satu hari, saya termimpi tentang Islam. Perkataan ‘Islam’ yang saya tak pernah dengar selama ini muncul di dalam mimpi saya. Amat menghairankan. Setelah peristiwa itu, saya mula mengkaji sedikit demi sedikit tentang Islam. 6 bulan kemudiannya, saya telah mengucapkan syahadah.”
“MasyaAllah, sungguh teruja saya mendengarnya!”
“Sebenarnya bukan makeup artist saja pekerjaan saya. Saya juga merupakan ahli volunteer persatuan Danpopo, persatuan yang memberi kaunseling dan bimbingan kepada orang Jepun yang berhutang dengan syarikat along berdaftar di sini. Along ‘halal’ ini musuh kami!”
Kami tersenyum. Memang fenomena yang parah di Jepun di mana syarikat ceti berdaftar ini mengenakan interest (riba) yang tinggi sehingga menyebabkan ramai orang Jepun tertekan dan akhirnya membunuh diri!
“Saya anggap ini adalah perjuangan saya sebagai seorang Islam. Saya yakin ini adalah sebahagian daripada ajaran Islam.”
“MasyaAllah, mulia sungguh kerja kamu!”
“Oleh kerana saya bukan dilahirkan Islam, saya tak pasti samaada dapat mengamalkan Islam secara total atau tidak. Tetapi saya sendiri akan cuba sedaya upaya untuk mengamalkan dan menyebarkan Islam di Jepun ini. Bila melihat umat Islam bersujud ketika solat pada mula-mula pengenalan saya tentang Islam dahulu, ianya sungguh menyentuh hati. Ini sungguh menunjukkan penghambaan kita terhadap Tuhan yang Esa.”
“Benar. Kita menghina diri sendiri sebagai hamba bila bersujud ketika solat. Saya juga kagum dengan semangat Ozaki-san untuk menyebarkan Islam di negara sendiri. Saya doakan kamu sentiasa beristiqomah sebagai duta kecil Islam di sini untuk sentiasa menyebarkan tentang Islam.”
“InsyaAllah.”
Pertemuan hampir ke penghujungnya. Semua bersiap-siap untuk bersurai. Aku dan Ozaki berjabat tangan.
“Ozaki-san, semoga engkau terus menjalankan amalan mulia membantu mereka yang tersepit di dalam kesusahan. I love you as my Muslim brother! Sekiranya kamu berkesempatan ke Malaysia, jangan lupa hubungi saya, saya akan jadi tourist guide untuk kamu secara percuma!”
“Terima kasih. Kamu pun sama. Sekiranya ke Tokyo lagi, jangan segan silu untuk kontek saya!”
SubhanAllah, terasa sungguh indahnya ukhwah Islam.
Ya Allah, Engkau tabahkan dan tetapkanlah Ozaki-san terhadap Islam, Engkau tambahkanlah ilmu agamanya, dan Engkau pertemukan kami kembali kelak, jika tidak di dunia ini, di akhirat esok insyaAllah.