life (68) wisdom (37) quotes/poems (32) family (26) events (20) iiu (19) Ramadhan (17) books (17) marriage (17) memories (14) stories (14) dreams (10) sightseeing (6) children (5) photoshop (5) skills (5) works (5) That Turning Point That Journey (2) Utau (2) cooking (2) ayat cinta <3 (1) vacation (1)

Sunday, May 14, 2017

Aku Bukan Malaikat

Menjadi seorang ibu itu bukanlah menjadi yang sempurna
Menjadi seorang ibu itu tetaplah seorang insan,
Yang kadang dihujani kelelahan mehnah dunia
Yang kadang khilaf dalam mendidik
Menjadi ibu memerlukan kesenian
Dalam membentuk insan acuan syariah-Nya
Menjadi seorang ibu itu terus-terusan disalah erti
Saat anak tidak memahami hikmah
Saat anak tidak mengerti lelahnya ibu
Menjadi seorang ibu itu menerima taklif
Seumur hidup itu menjalani amanah-Nya
Menjadi seorang ibu itu mendoakan yang terbaik buat anak-anaknya
Mendoakan hikmah dititipkan pada setiap perjalanan anak-anaknya
Menjadi seorang ibu itu dihantui rasa bersalah
Dalam mendidik,
Pada kurangnya pengalaman
Pada kurangnya ilmu

Kerna ibu juga insan
Datang anaknya tika ibu gembira
Datang anaknya tika ibu bersedih
Datang anaknya tika ibu tertekan
Datang anaknya tika ibu lelah dan letih
Kerna ibu menerima taklif
Seumur hidup menjalani amanah-Nya

13/05/17

p/s: Best wishes to dear Ibu. Semoga perjalanan umurmu diberkati-Nya
090517

Tuesday, May 9, 2017

"Laut berperenggan warnanya, kata seorang kawan dari Pantai Timur; perahu mudah menggambarkan kesayuan; nelayan melambangkan kegagahan yang pilu."

 Bacaan Mira terhenti. Asyik benar buku Langit Petang tulisan sumber inspirasinya, A. Samad Said. Sungguhpun terkadang Mira terpaksa berulangkali membaca perenggan yang sama untuk memahami penulisan sasterawan negara, hatinya tersentuh dengan puitisnya ayat ini.

Sebenarnya, bukan kerana ayat puitis itu menyebabkan Mira terhenti bacaannya. Malahan kerna ia mengingatkan Mira pada satu susuk yang dikaguminya, yang hilang entah tanpa berita. Mungkin sahaja dia telah menjalani hidup sebagai nelayan seperti angan-angannya. Mungkin juga dia telah terbang merentasi awan dan benua demi sebuah cita-cita.

Sungguhpun begitu, dimana jua dia berada, Mira hanya bisa mengirim doa semoga sahaja Tuhan memelihara insan-insan yang Mira sayangi dan kagumi. Biarpun sejauh 7 benua terpisahnya Mira dan mereka, Mira berharap kita sedang mengait impian yang diikrarkan bersama dahulu. Biarpun cabaran dan adakalanya lelah datang menghinggap diri, kita tidak pernah berhenti mengait impian itu.

Barangkali sahaja, ada antara kita yang telah berjaya mencapai impian itu. Mungkin sahaja ada antara kita yang masih terkial-kial memulakan jalan menuju impian itu. Tapi, Tuhan tidak sahaja melihat hasil bahkan usha kita dalam mencapai impian.

Mungkin kita bakal berpergian dahulu sebelum selesai mengait impian. Biarpun itu takdirnya, semoga Tuhan menerima usaha kita.

Tuhan, semoga insan-insan istimewa ini Engkau pelihara dan dalam rahmat-Mu.

Mira tersenyum syahdu dan diam berdoa pada Al-khaliq

May 9, 2016

Saturday, March 18, 2017

Diary di Hospital 2

18.3.17 : Hari keempat

Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah

Doktor buat lawatan dan rawatan pagi memberi khabar gembira buat Ummi. Anakanda Ummi tidak perlukan bantuan oksigen untuk bernafas. Ummi lihat anakanda lebih selesa tanpa wayar berselirat dimuka. Ummi lihat anakanda semakin ceria.

Ya, marilah kita terus berdoa agar diberi kesembuhan berpanjangan kepadamu dan kepada Ummi juga. Agar Allah sentiasa memeliharamu duhai anak.

Doktor mahu memantau lagi, menjelang petang harapnya anakanda sihat dan dibenarkan pulang. Ummi tidak sabar untuk pulang diambil Abi bertemu Jad dan Jaddah mu duhai anak.

Yang lebih utama itu, Ummi tidak sabar melihat keletahmu meneroka dunia yang luas ini.

Kerungsingan dan kegalauan Ummi berkenaan duduknya kamu setelah usai cuti sekolah ini. Kemana harus kamu Ummi letakkan pemeliharaan agar tidak berulang kali berlaku lagi.

Semoga Allah buka jalan dan hikmah yang terbaik buat kita semua.

Sesungguhnya menjadi ibu bekerjaya bukanlah suatu yang mudah. Memilih menjadi surirumah tangga itu adalah pilihan yang utama dan harapan Ummi. Namun, maafkan Ummi kerana belum bisa merealisasikan impian itu untuk mendidik dan melihat setiap perkembanganmu duhai anak.

Semoga kita sama-sama bersabar dan diberi hikmah oleh-Nya atas setiap perjalanan didunia ini. Semoga Allah redha dengan setiap keputusan dan memberi petunjuk buat kita terus berjalan dalam redha-Nya.

Sampai kita terus kuat setiap kali ujian-Nya melanda. Sampai kita mencapai tahap tawwakkul kepada-Nya yang sebenar-benarnya. Ameen

Friday, March 17, 2017

Diary di Hospital 2

17.3.17 : Hari ketiga

Anakanda Ummi yang disayangi. Terasa lama benar Ummi tidak melihat senyumanmu duhai anak. Ummi rindu pada senyuman manismu, keletah aktifmu, dan kepetahanmu berbicara dengan Ummi dan Abi.

Semoga Allah berikan kesihatan fizikal, rohani, dan emosi kepadamu sayang. Senyuman dan keletahmu memberi kekuatan dan mendamaikan hati Ummi. Tersenyumlah sayang.

Doa seorang ibu itu makbul. Semoga Allah ampuni dosa dan kealpaan Ummi, moga anakanda Ummi kembali sihat dan cergas. Ujian ini buat kita makin dekat pada-Nya. Dia mahu kita terus sentiasa ingat pada-Nya. Mahu kita sentiasa memperbaiki doa dan tawakkul kepada-Nya. Kerna tempat pergantungan utama kita adalah Dia. Inilah pelajaran dan muhasabah untuk kita, duhai anakanda. Malahan terlalu banyak pengajaran dan didikan yang Ummi terima sepanjang tiga hari di sini.

Cukuplah Ummi bawakan doa adalah pembelajaran dan didikan untuk hari ini. Ingatlah duhai anak, berdoa dan terus berdoa. Jangan pernah berputus harap. Jangan pernah angkuh punya segala. Kerna dalam sekelip mata Dia boleh menhilangkannya. Seperti mafhumnya, bila Allah berfirman; Jadilah, maka jadilah ia.

Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah.
Lewat petang ni Ummi dapat melihat senyumanmu sayang. Semoga senyumanmu semakin ceria dari hari ke hari.

Diary di Hospital 2

16.3.17 : Hari ke-2

Setelah hampir sehari menunggu untuk ditempatkan di wad, Alhamdulillah kita bisa memperoleh tempat untuk menerima rawatan yang lebih tersusun.

Jam 1200 anakanda Ummi bawa dibantu misi ke wad yang ditetapkan. Ujian dan peringatan dari-Nya dihari kedua, duhai anakanda. Belajar bersabar, terus bersabar. Semoga Ummi, dan kamu duhai anak sentiasa dikurniakan kesabaran meniti hari-hari akan datang.

Memandangkan ini pengalaman kedua Ummi bersama kamu, sedikit sebanyak Ummi mafhum dengan prosedur di sini. Sungguhpun begitu, kerisauan tetap menjengah hati Ummi.

Ummi tak kuat, tetapi Ummi harus kuat agar kamu bisa berubat dengan tenang. Semoga kita sama-sama kuat melawan sakit ini.

Thursday, March 16, 2017

Diary di Hospital 2

15.3.17 : Hari pertama

Hari ketiga anakanda Ummi demam dan akhirnya anakanda Ummi terpaksa melalui hari-hari dan rutin yang sama seperti dua bulan lalu.

Muhasabah untuk Ummi dan Abi.

Kesihatan itu pinjaman yang mahal daripada-Nya. Seharus dijaga sebaiknya.

Terima kasih anakanda Ummi dan Abi kerana memberi iktibar dan menyuntik kekuatan pada kami

Tuesday, March 14, 2017

Kalau percaya pada kajian beribu tahun
Lalu mengapa tidak diikuti aturan yang termaktub?
Mengapa percaya pada omongan

Beri ruang untuk hidup
Bukan mencari salah pada diri
Kerna kita bukan sempurna
Kerna prinsip kita itu berbeda

Monday, February 6, 2017

I tried so much to be part of you. Endlessly. However deeply I hurt due to your actions or course of action, I tried. I see it now.

The way I am will never be part of you. My background, my career, my personality.

I will always be a stranger connected through a twist of fate.

I humbly retreat from this battle

Friday, January 13, 2017

Diary di Hospital

Hari ke-3:

Luluh hati Ummi melihat anakanda Azzam mengharungi cabaran untuk kembali sihat! Maafkan Ummi, Azzam. Ummi sayang Azzam. Setiap kali Azzam perlu untuk ambil nebulizer, Ummi terpaksa membedung Azzam. Ummi menangis melihat Azzam meronta-ronta mohon agar dilepaskan.

Apakan daya, Ummi mesti cekalkan hati Ummi supaya Azzam kembali cergas dan sihat. Ummi sayang Azzam!

Azzam kuat dan sabar menghadapi ujian ini. Ummi juga harus kuat supaya Azzam bisa tenang dalam proses penyembuhan ini. Moga Allah kurniakan Ummi dan Azzam kekuatan dan kesabaran menghadapi ujian ini.

Semoga esok kita boleh pulang!