17.3.17 : Hari ketiga
Anakanda Ummi yang disayangi. Terasa lama benar Ummi tidak melihat senyumanmu duhai anak. Ummi rindu pada senyuman manismu, keletah aktifmu, dan kepetahanmu berbicara dengan Ummi dan Abi.
Semoga Allah berikan kesihatan fizikal, rohani, dan emosi kepadamu sayang. Senyuman dan keletahmu memberi kekuatan dan mendamaikan hati Ummi. Tersenyumlah sayang.
Doa seorang ibu itu makbul. Semoga Allah ampuni dosa dan kealpaan Ummi, moga anakanda Ummi kembali sihat dan cergas. Ujian ini buat kita makin dekat pada-Nya. Dia mahu kita terus sentiasa ingat pada-Nya. Mahu kita sentiasa memperbaiki doa dan tawakkul kepada-Nya. Kerna tempat pergantungan utama kita adalah Dia. Inilah pelajaran dan muhasabah untuk kita, duhai anakanda. Malahan terlalu banyak pengajaran dan didikan yang Ummi terima sepanjang tiga hari di sini.
Cukuplah Ummi bawakan doa adalah pembelajaran dan didikan untuk hari ini. Ingatlah duhai anak, berdoa dan terus berdoa. Jangan pernah berputus harap. Jangan pernah angkuh punya segala. Kerna dalam sekelip mata Dia boleh menhilangkannya. Seperti mafhumnya, bila Allah berfirman; Jadilah, maka jadilah ia.
Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah.
Lewat petang ni Ummi dapat melihat senyumanmu sayang. Semoga senyumanmu semakin ceria dari hari ke hari.