18.3.17 : Hari keempat
Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah
Doktor buat lawatan dan rawatan pagi memberi khabar gembira buat Ummi. Anakanda Ummi tidak perlukan bantuan oksigen untuk bernafas. Ummi lihat anakanda lebih selesa tanpa wayar berselirat dimuka. Ummi lihat anakanda semakin ceria.
Ya, marilah kita terus berdoa agar diberi kesembuhan berpanjangan kepadamu dan kepada Ummi juga. Agar Allah sentiasa memeliharamu duhai anak.
Doktor mahu memantau lagi, menjelang petang harapnya anakanda sihat dan dibenarkan pulang. Ummi tidak sabar untuk pulang diambil Abi bertemu Jad dan Jaddah mu duhai anak.
Yang lebih utama itu, Ummi tidak sabar melihat keletahmu meneroka dunia yang luas ini.
Kerungsingan dan kegalauan Ummi berkenaan duduknya kamu setelah usai cuti sekolah ini. Kemana harus kamu Ummi letakkan pemeliharaan agar tidak berulang kali berlaku lagi.
Semoga Allah buka jalan dan hikmah yang terbaik buat kita semua.
Sesungguhnya menjadi ibu bekerjaya bukanlah suatu yang mudah. Memilih menjadi surirumah tangga itu adalah pilihan yang utama dan harapan Ummi. Namun, maafkan Ummi kerana belum bisa merealisasikan impian itu untuk mendidik dan melihat setiap perkembanganmu duhai anak.
Semoga kita sama-sama bersabar dan diberi hikmah oleh-Nya atas setiap perjalanan didunia ini. Semoga Allah redha dengan setiap keputusan dan memberi petunjuk buat kita terus berjalan dalam redha-Nya.
Sampai kita terus kuat setiap kali ujian-Nya melanda. Sampai kita mencapai tahap tawwakkul kepada-Nya yang sebenar-benarnya. Ameen