"Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah baik bagimu jika kamu mengetahui" - At-Taubah, 9:41
Hari ini merupakan hari ke sepuluh Ramadhan. Terawih di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah telah pun sampai pada bacaan surah At-Taubah. Memaknai dan mendalami ayat 38-41 di dalam surah At-Taubah banyak menceritakan seruan berjihad di jalan Allah. Konteks jihad itu luas dan bukanlah tercangkup dalam berjihad dengan memerangi musuh, mengangkat senjata dan menumpahkan darah.
Tetapi, membelanjakan harta di jalan Allah itu juga Jihad. Menyerahkan jiwa di jalan Allah itu juga jihad. Sedekah itu jihad, membersihkan harta dan menyucikan diri daripada rasa tamak dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepada kita. Memupuk rasa kasih dan sayang sesama insan dan juga berkongsi nikmat kurnia-Nya. Itu salah satu contoh jihad dengan harta.
Mengambil iktibar daripada ayat ini di bulan Ramadhan yang mulia ini, bukankah bersedekah di bulan yang penuh barakah ini banyak kebaikan kepada diri kita disamping menggembirakan yang lain. Mulakanlah dengan rasa berat agar kita dapat memupuk dan membujuk diri yang mungkin sudah asyik dengan kemewahan yang dimilik agar berkongsi nikmat-Nya. Semoga yang berat itu menjadi ringan kemudian kelak.
Berjihad di jalan Allah dengan jiwa bukanlah bermakna hanya dengan berkorban nyawa. Sungguhpun impian kita adalah syahid di jalan Allah, jalan menuju redha-Nya bukanlah satu jalan sahaja. Berjihad mendidik nafsu kita juga jihad dengan jiwa. Mujahadah dan istiqamah dalam menlaksanakan perintah-Nya dan meninggalkann larangan-Nya juga satu bentuk jihad jiwa. Bukan mudah untuk bermujahadah apatah lagi untuk berterusan (istiqamah) melakukan amalan syariah.
Teruslah mengambil ruang dan peluang mendidik nafsu sementara seterunya ditahan. Terkadang dihinggapi rasa culas dan malas, teruslah mujahadah biarpun berat, semoga kemudian keikhlasan itu hadir.
Bermohonlah kepada Allah, agar diberi kekuatan untuk terus mujahadah dan istiqamah dalam meraih keberkatan bulan Ramadhan dan diberi peluang untuk menikmati malam Al-Qadr.
Allahu...
Temukan kami dengan malam istimewa itu.