Wednesday, June 24, 2015

Pakcik Sri Langka

Hari ketiga aku diserang asma. Bukan perkara luar biasa bagiku untuk sakit ini, ianya sudah menjadi sebahagian hidupku. Tetaplah aku berdoa terus-terusan agar sakit ini sembuh dan takkan datang menggangu rutin harianku lagi. Biarpun ada doktor dan sebahagian daripada pembacaanku menyatakan bahawa asma bukan satu penyakit yang boleh sembuh tetapi hanya menjadi dorman ketika kita menjaga segala aspek yang boleh membuatkan serangan asma berlaku tetaplah kuasa penyembuh segala penyakit itu adalah DIA yang maha kuasa.

Bukankah Allah telah berfirman, yang mafhumnya bahawa setiap penyakit itu pasti ada ubatnya dan penyembuh untuk segala penyakit itu datangnya dari Allah dan kita hanyalah berusaha semampu dan sedayanya untuk menyembuhkan penyakit ini.

Berbalik kepada serangan asmaku, setelah berusaha dengan pelbagai cara, akhirnya aku gagahkan diri ke Hospital Selayang. Di sinilah pertemuan antara Pakcik Sri Langka denganku. Pakcik yang peramah dan memandang tinggi pada kemudahan dan kecekapan Hospital ini. Seperti juga aku, Pakcik ini menghidapi asma dan boleh dikatakan agak teruk berbandingku. Seawal bicara kami, ianya berkisar tentang sejarah asma yang kami hidapi. Bukanlah untuk berbangga diri tetapi sekadar berbasa-basi.

Ihsan En Google

Pakcik sangat mengambil berat akan sakit asma ini dan telah pun mengikuti rawatan berkala di sebuah universiti tempatan. Beliau juga turut menasihati aku agar tidak 'culas' dalam menjalani rawatan. Aku hanya mampu tersenyum dan terbayang akan pelbagai rawatan yang telah dicuba. Betapakan tidak, sehingga jauh di Kelantan pun aku sudah jejaki untuk merawat sakit asma ini. Allahu... betapa besar pengorbanan Ibu dan Abah. Berapa banyak wang dihabiskan untuk aku sahaja.

Aku juga berpeluang menceritakan pengalamanku menjalani rawatan berkala di Institut Respiratori Negara. Namun, aku menghentikan rawatan ini kerana aku merasakan perubahan yang berlaku adalah semakin teruk. Hampir setiap hari aku mengalami asma yang teruk. Ditambah lagi aku terpaksa menyusahkan Abah untuk setiap temujanji bersama doktor di IRN ini. Nekad, aku memaklumkan kepada Abah untuk menghentikan rawatan ini dan meneruskan rawatan secara tradisional. Alhamdulillah, keadaanku semakin baik dan aku kembali meneruskan pengajianku yang tertangguh satu semester.

Saat aku menceritakan pengalamanku di IRN ini, Pakcik mencelah sebelum sempat aku menyelesaikan ceritaku. Ceritaku pada Pakcik terhenti pada aku berhenti mendapatkan rawatan. Komen Pakcik pada tindakan ini, " Naughty you" dan aku hanya tersenyum. Namun, aku faham Pakcik cuma bimbang kerana jika dibiarkan dan tidak mengambil langkah awal, asma boleh membawa sakit yang lebih kronik seperti barah pernafasan dan pneumonia.

Sesungguhnya sakit ini memberi hikmah kepada kita. Sekiranya kita tidak diuji dengan sakit, barangkali kita tidak mengerti erti sihat dan kurang rasa bersyukur dengan nikmat sihat yang dimiliki.

Pertemuan dengan Pakcik membuatku insaf. Mungkin ada kekhilafan dan kelalaian yang aku lakukan dan Allah memberi peringatan ini dengan menghadirkan asma. Kerana itu aku dipertemukan dengan Pakcik Sri Langka yang merendah diri dan peramah untuk aku belajar sesuatu dari epilog sebuah kehidupan. Setiap apa yang berlaku, bukanlah secara kebetulan tetapi telah teratur cantik oleh-Nya.

Semoga kita lebih menghargai nikmat-Nya.

Nota:
1-Flashback 2014
2-Semoga Pakcik baik-baik sahaja
3-Ketika berbicara dengan Pakcik, menginsafi betapa berteraburnya Bahasa Inggeris. Tak fasih berbicara setelah lama tak mengaplikasikannya *nangis*
4-Draft yang tersimpan lama baru selesai tulis

Tuesday, June 23, 2015

"Be kind and gentle with yourself. You’re doing the best you can"


Monday, June 22, 2015

Cinta dan Tanggungjawab

"Cinta memang hebat, tetapi ia tidak dapat menandingi tanggungjawab. Cinta yang hebat ialah cinta yang ditunjangi tanggungjawab"
-Cinta kerana Allah, Pahrol Mohamad Juoi





Saat kita mencintai belahan jiwa, kita merasa perlu untuk memberi, sebagai bukti kasih dan cinta kita pada dia. Saat dirasakan pemberian itu terlalu banyak, kita merasakan perlu menerima bukti daripada si dia juga. Sedangkan salah satu pembuktian cinta adalah dengan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh ikhlas. Bahkan, tanggungjawab itu mampu mengukuhkan cinta antara dua jiwa. Tika dua jiwa memahami tanggungjawab dan memenuhinya dengan penuh rasa cinta, tiada lagi rasa kita memberi berlebihan tanpa mendapat balasan.


Seperti mana kita mendakwa kita mencintai kekasih hati kita, begitu juga dakwaan kita tentang cinta kita kepada Allah dan rasul-Nya. Cinta itu hadir dengan pembuktian dalam menjalankan tanggungjawab kita kepada-Nya. Tanggungjawab yang ada dalam garis-panduan dan rujukan kita, Al-Qur'an dan Sunnah. Bagaimana mungkin kita bakal merasai manisnya cinta-Nya andai kita gagal memberi sedikit daripada permintaan-Nya. Sedangkan Dia telah memberi banyak sekali rahmah dan nikmat. Bukankah Allah itu maha pengasih dan maha penyayang.Cinta itu ertinya saling memberi. Allah telah mengurniakan kita segala keperluan dan kehendak kita. Malahan, Allah memberi apa yang terbaik buat kita. Tetapi, adakah kita telah memberi apa yang terbaik daripada kita?

Sunday, June 21, 2015

I am officially written-block!

Saturday, June 20, 2015

Tawakal

Ali Imram,3:159

"...kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakal."

Sesungguhnya ayat cinta dan peringatan ini benar2 buatku tersentak. Bukankah janji Allah itu pasti? Mengapa mesti ada ragu? Kerana kita tak lari dari hasutan syaitan dan juga ujian buat kita untuk lebih teguh dengan keputusn yang telah dibuat atau gugur dan berpaling daripada keputusan itu.

Bukankah masa depan itu penuh dengan possibilities? Itu tetap tidak bisa membuat kita goyah dengan janji Allah. Bahkan, bukan hasil yang dilihat-Nya, tetapi usaha kita dalam mencapai tujuan dan dalam melaksanakan hajat kita. Bukankah janji Allah itu pasti.

Meletakkan tawakal itu bukan mudah tetapi tidak mustahil. Tawakal juga bersangkut-paut dengan ketaqwaan kita kepada-Nya. Oleh itu, dalam meletakkan sebenar-benar tawakal adalah dengan ketaqwaan.

Berusaha dalam kemampuan kita dan penuh tekad mencapai matlamat, dan kemudian bertawakal kepada-Nya atas hasil daripada usaha kita. Sama ada kita berjaya cepat, terkemudian mahupun belum berjaya mencapai matlamat bukanlah membuat kita berasa bangga mahupun kecewa.

Bersyukur kerana telah mencapai jaya dan bersabar bila ditangguhkan kejayaan membuktikan kita telah meletakkan sebaik-baik tawakal kepada-Nya.

Friday, June 19, 2015

Hikmah Ramadhan

Salah satu daripada sembilan Hikmah puasa Ramadhan yang disebut oleh Badiuzzaman Said Nursi dalam risalah Ramadhan dan Syukur ialah puasa di bulan Ramadhan adalah bertujuan untuk mendidik jiwa manusia dan membentuk akhlak serta membebaskan diri daripada melakukan tindakan yang melulu.

Melalui rasa lapar, setiap orang akan berfikir mengenai diri dan perut mereka yang berkeroncong. Manusia akan berfikir tentang keperluan diri dan dapat merasai betapa kerdilnya kita tanpa rahmat Allah dan belas kasih-Nya.

Justeru itu, ia dapat membawa rasa keinsafan dalam diri atas kelalaian dan kealpaan dalam jiwa.
Jiwa akan sujud penuh rasa lemah dan penuh pengharapan dalam mencapai rahmat Ilahi dengan penuh rasa kesyukuran.

Thursday, June 18, 2015

Permulaan Ramadhan 1436H


 
Alhamdulillah, masih diberi ruang dan peluang untuk menunaikan ibadah puasa dan masih berpeluang merasai nikmat dan syahdunya menunaikan solat terawih di masjid UIAM. Alhamdulillah.

Semoga momentum permulaan hijrah di bulan ramadhan ini terus laju dan meningkat sehingga hujung nyawa.

Semoga semangat dan ruh ini tidak berterbangan saat perginya Ramadhan.

Semoga saat hadirnya Syawal membawa satu kemerdekaan jiwa daripada perhambaan nafsu.

Semoga ramadhan ini bermanfaat penuh kesyukuran atas nikmat kurnianya.

Semoga kita kembali kepada fitrah mencari tuhan yang esa.

Untuk sebuah hijrah dalam fitrah mencapai redhaNya.

Selamat menjalani sekolah kehidupan.

Semoga sentiasa dalam keberkatan buat semua. Mohon maaf salah silap. Ramadhan kareem.

1 Ramadhan 1436H

Masih berdua meraikan Ramdhan.
Eh. Masih bersama keluarga ZISS meraikan Ramadhan
 
P/s: Berazam untuk meng'hidup'kan balik blog dan istiqamah dalam menulis.
P/ss: Semoga tulisan ini menjadi terapi dan inspirasi buat yang membaca dan yang menulis juga.
P/sss: Berazam macam-macam lagi untuk Ramadhan kali ini. Sila rajin ye!