Mr. Google Pic
Alhamdulillah, diberi kesempatan untuk mengupdate blog. Sebenarnya, buku kali ini sudah habis dibaca sebulan lebih daripada tarikh entry ini ditulis. Sudah lama post ini dibiarkan menjadi draft.
Ingat lagi pada cerita Pollyanna dan The Glad Game? Ini merupakan cerita sambungan dari cerita Pollyanna. Di pengakhiran buku Pollyanna yang ditulis oleh, Eleanor Hodgman Porter; Pollyanna menjalani terapi untuk kakinya yang patah kerana kemalangan kereta. Mak saudaranya berkahwin dengan doktor yang merawat penduduk-penduduk di kawasan kediaman Pollyanna.
Dalam buku kedua ini, menceritakan tentang, bagaimana mak saudaranya bimbang akan pembangunan sahsiah Pollyanna memandangkan dia masih belum sedar apa yang telah dilakukanya. The Glad Game yang sering dimainkan oleh Pollyanna merubah hampir semua kehidupan penduduk kawasan itu. Mereka berjaya untuk hidup dengan lebih positif dan menghargai kehidupan yang mereka lalui.
Mak Saudara Pollyanna bimbang bila Pollyanna sedar akan keistimewaan yang dia ada akan menyebabkan anak saudaranya ini menjadi sombong dan mempunyai sifat-sifat yang tidak bagus. Setelah berbincang dengan suaminya dengan tindakan yang patut mereka ambil, dengan pula tawaran daripada jururawat yang merawat Pollyanna dari bandar lain meminta untuk Pollyanna menemani Mrs. Carew, kakak jururawat yang merawatnya dengan harapan The Glad Game yang sering dimainkan oleh Pollyanna mampu mengubah kehidupan Mrs. Carew. Akhirnya mak saudara Pollyanna membenarkannya untuk pergi ke bandar besar tempat kediaman Mrs. Carew.
Bermulalah kehidupan Pollyanna di tempat yang sangat asing, dia yang suka untuk berjalan-jalan pada mulanya tidak dibenarkan keluar daripada halaman rumah Mrs. Carew kerana di khuatiri akan di culik atau sesat. Namun setelah Pollyanna berjanji untuk tidak ke tempat lain melainkan taman yang berhampiran dengan rumah yang didiaminya, mereka membenarkannya untuk pergi. Di taman itu, Pollyanna bertemu dengan dua orang rakan, seorang gadis yang kelihatan hampir berputus asa dengan kehidupan dan juga seorang budak lelaki yang kelihatan hampir sebaya dengannya. Kehidupan dua orang ini berubah hanya dengan mendengar celoteh Pollyanna memandangkan dia sangat suka bercerita.
Pollyanna akhirnya kembali pulang ke kampung halamannya selepas perubahan Mrs. Carew daripada seorang yang sangat kelam dan suka bersendiri kepada seorang yang periang dan mula mengambil berat terhadap kerja-kerja yang telah dibiarkkan sekian lama.
Pollyanna, mak saudara dan suaminya berpindah ke luar negara kerana suami mak saudaranya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajarannya di sana. Di sana berlaku tragedi yang menyayat hati. Suami mak saudaranya meninggal dunia dan mereka terpaksa pulang ke kampung halaman kerana duit simpanan mereka tidak memcukupi untuk menampung kehidupan di sana. Pulanngnya mereka, Pollyanna sudah meningkat dewasa.
Sepulangan mereka, mak saudara Pollyanna menjadi seorang yang pesimis dan prejudis. Pollyanna menjadi susah hati dengan perubahan mak saudaranya, walaupun dia cuba untuk bermain permainan yang selalu dimainkannya. Kesabaran dan kesungguhan Pollyanna untuk melihat mak saudaranya kembali gembira membuahkan hasilnya. Akhirnya mak saudaranya akur untuk cuba sekali lagi bermain permainan Pollyanna itu.
Dalam buku ini juga diceritakan bagaimana perasaan Jimmy kawan Pollyanna sejak kecil dan budak lelaki yang ditemuinya di taman dahulu(Jamie). Jimmy yang menyimpan perasaan kepada Pollyanna berhasrat untuk menyuntingnya, namun disebabkan mak saudara Pollyanna mahukan seorang yang mempunyai latar belakang yang jelas, menolak Jimmy kerana dia merupakan anak yang kehilangan ibu dan bapa dan tidak diketahui siapakah mereka.
Bermulalah bab mencari identiti Jimmy yang sebenarnya sehingga menemukan Jimmy dengan Mrs. Carew, yang merupakan emak saudara Jimmy dan cerita disebalik mengapa Jimmy boleh menjadi anak yatim-piatu.
Menarik bukan kisah ini? Untuk tahu lebih lanjut dan lebih jelas, jom baca buku ini!
Semoga kita dapat mengambil pengajaran dan iktibar dari cerita ini. Setiap orang akan menghadapi masa susah yang sangat susah sehingga kita terasa akan susahnya untuk bangkit semula menjalani sebuah kehidupan.
Tapi, kita seharusnya sedar akan orang-orang disekeliling kita yang menyayangi kita dan mengambil berat tentang kita. Yang tidak kisah akan latar belakang dan kekurang-upayaan yang kita ada sama ada secara fizikal, emosi mahupun mental. Yang menerima kita seadanya kerana kita merupakan salah satu penyeri hidup mereka hanya dengan berada dekat dengan mereka, dan juga menjadi penyokong kita bila kita kesusahan.