Monday, June 20, 2011

Tribute to...

...Nenda Tersayang (III)

15 Jun 2011

2.00 a.m
Sampai di rumah Busu, Taman Melewar 3 dari rumah Nyai. Rumah Nyai penuh dengan sanak-saudara yang datang dari Kl-Gemas. Jadi kami menumpang di rumah Busu. Pukul 4.30 a.m kena bangun untuk ambil adik-adik yang datang dari Penang dan Perak.

7.00 a.m.
Kami bersiap untuk ke rumah Nyai. Hari ini urusan pengebumian Nyai. Seusai bersarapan dan membantu apa yang termampu, aku dan adik-beradik pergi berjumpa Nyai. Membacakan Yasiin untuk Nyai. Semoga ruh Nyai tenang dan damai. Doaku di dalam hati.

Rumah Nyai kian penuh. Keluarga Wak long datang satu keluarga. Saudara-mara yang tinggal di Parit Rasipan turut mengunjungi rumah ini. Urusan memandikan Nyai berlangsung. Aku tidak sanggup untuk ke ruang tamu lagi. Sehingga tiba saat Kak Yah memanggil kami untuk kucupan terakhir. Melihat wajah Nyai yang begitu tenang. Aku menjadi sebak kembali. Air mataku tidak berhenti turun. Tiada kata dapat di lafazkan. Ku kucup dahi Nyai dan ku usap kepala Nyai. Maafkan aku...maafkan aku Nyai...

Ku iringi solat jenazah. Buat pertama kalinya dalam hidupku! Ya...ketika allahyarhamah Wak long dan Cik yat meninggal dunia tiga tahun dan dua tahun yang lepas. Aku tidak sempat unutk turut solat jenazah. tidak sempat untuk melihat mereka buat kali terakhir.

Hari ini dan semalam, sungguh syahdu buat diriku. Sungguh, akhirnya Nyai mengikut jejak anak-anaknya setelah beberapa kali bermimpi berjumpa mereka. Kami bergerak ke kubur. Saat keranda turun ke liang lahad, aku redha. Ya Allah, Engkau lebih menyayangi Nendaku. Engkau menyambut Nendaku dan menghilangkan kesengsaraan dan kesakitan yang ditanggungnya. Engkau berikannya kematian yang baik.

Pedih hati mendengar rintihan bapa saudaraku yang kurang sihat; "Long, abahnya dah takda...Kita tinggal sorang je..." Nyai...

Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan. Contoh orang baik dan diredhai Allah. Segala urusan dipermudahkan. Semoga urusan di dalam kubur juga dipermudahkan.amin.

Pulang dari pengebumian, baru berkesempatan duduk bersama abah. Menghayati perasaan seorang anak. Yang cukup tabah menghadapi pemergian bonda tercinta. Sebagai anak sulung lelaki, di hadapan adik-adik, abah memberi kekuatan dan sokongan. Abah bercerita, saat mendapat perkhabaran dari kampung, Nyai sejuk-sejuk, berpeluh-peluh, abah bergegas untuk pulang. Hari itu (selasa) abah berhajat untuk duduk bersama Nyai. abah pulang ke kampung selepas Zuhur. Membawa bekalan biskut untuk dimakan bersama Nyai. Dengan harapan dapat menghabis sisa-sisa masa Nyai bersama. Takdir Allah, perancangan-Nya, abah menerima panggilan telefon ketika berada di dalam bas. Nyai pergi tanpa siapa-siapa disisi. Nyai pergi dalam keadaan sedang tenang tidur.

Air mata seorang anak bercucuran. Kesedihan kerana tidak dapat bersama bonda buat kali terakhir.

Bersiap untuk makan tengah hari dan pulang ke KL untuk memberi sokongan moral kepada abang. Abang sorang-sorang di KL menunggu berita anak di icu. Abah yang pada mulanya mahu bersama-sama adik-adik abah untuk memberi sokongan, turut pulang ke KL.

Sewaktu makan tengah hari, sekali lagi bapa saudaraku berkata: " Abang Man, (suami cik yat) nanti balik Kg lagi ya...Abang Yem (bapa saudaraku) balik ya...Abang Ngah (abah) balik kg ya..."

Tersentuh aku mendengarnya. Sayu sungguh permintaannya!

Ya...
Kampung Johor adalah kampung kegemaranku.
Saudara yang ramai dan ramah-tamah.
Rumah itu penuh dengan memori manis
Walau banyak mana sekali di ubah suai
Bayangan rumah tua lama tetap datang
Tandas suatu ketika dulu di luar rumah
Jauh...

Kemudian,
Dapur yang kecil dibesarkan.
Banjir melanda,
Rumah dinaikkan

Memori kekebun bersama Nyai
Mengutip cendawan...
Belajar buat kuih Koci, kuih apam.
Makan asam bersama Nyai...
Asam limau kegemaran Nyai...
Tidur bersama
Menghidang kuih raya untuk tetamu
Masak tempe

Kini
Yang menghuni rumah itu
Hanya Busu sekeluarga bersama Cik War...

Perjalanan hidup harus diteruskan
Bagaimana kematian kita?
Aku masih punya abah dan ibu
Untuk ku tabur bakti
Sepupuku?
Mereka sudah kehilangan bonda tercinta
3 dan 2 tahun yang lepas
Kini kami sama-sama
Kehilangan Nyai.

Selamat Kembali Nyai
Selamat Kembali ke sisi-Nya
Moga-moga dengan tersenyum
Seperti Nyai pergi penuh tenang

Semoga coretan ini terpahat dihatiku. Semoga suatu hari nanti bila aku membacanya kembali, aku tidak akan lupa perasaan ini. Semoga kiranya aku membaca ini ia akan membawa aku kembali nyata tentang hidup ini tidak kekal. Bukan di sini penghidupan abadiku. Semoga apabila aku menitip kembali tinta keyboard ini, aku insaf akan kelemahan seorang insan bernama MHS yang hanya kerdil dan tidak berkuasa. Aku tidak pernah ada kekuatan. Semuanya milik-Nya. 

HIJRAH: HIGHLY INSPIRED JOURNEY REACHING ALLAH'S HAPPINESS

Tribute to... ....Nenda Tersayang (The End)

Tribute to...

...Nenda tersayang (II)

14 Jun 2011

Aku melalui hari ini seperti hari-hari sebelumnya. Bangun pagi, bukak laptop, check e-mail, check blog, check manga. Bersiap untuk ke tempat kerja. Bergerak ke uia untuk menjemput kak Ain dan bergerak ke tempat kerja bersama-sama. Dengan harapan, kerja hari ini dapat disiapkan dengan cepat supaya dapat meneruskan kerja seterusnya. Pukul 4.oo p.m. aku menerima panggilan dari kakakku. Membawa perkhabaran yang tidak kuduga sama sekali.

"Assalamualaikum, Yam"

"Wa'alaikummussalam...ha..kenapa?'

"Nyai da takde.."

....

"Pe die???"

Aku tergamam. Ku minta kakak ku mengulang kembali kata-katanya. Aku bangun dari tempat dudukku untuk ke pantry. Sebaik sahaja berita itu sampai ditelingaku, terus air mata menitis. Tidak dapat menerima perkara ini. Badanku seakan lemah. Aku melangkah kembali ke hadapan. Menuggu kembali panggilan dari kakakku. Kemudian, kakak ku menyuruhku untuk menjemput adik di sekolah. Petang itu juga kami akan bertolak ke kampung!

Sedih!

Beberapa hari sebelum ini, aku berborak dengan my dearest cousin. Dia ada bertanyakan bila aku akan datang menjenguk nyai. Dan aku memberikan jawapan yg tak pasti. 'Belum ada kesempatan untuk datang, abah selalu balik weekdays.' dan 'Sekarang tengah kerja.' Sambil-sambil aku membayangkan hari rayaku tahun ini di kampung johor penuh meriah, menyambut salam nyai dan bergelak ketawa dengan saudara-mara.

Tapi siapa yang sangka. Kali terakhir aku bertemu Nyai adalah saat dia sudah memejamkan matanya!Aduh! Hatiku luluh menerima berita ini. Kami bergerak pulang ke Kampung selepas menjemput adik di sekolah hi-rock.

Lapan lebih malam itu, aku menerima berita anak abang selamat lahir kedunia. Abang tidak dapat pulang ke kampung bersama-sama. Sesampai di rumah Nyai, dalam pukul 11 malam, abang sulungku mengkhabarkan anak saudara ku masuk icu. Aku tergamam. Seakan baru saja menerima berita anak saudaraku selamat lahir.

Namun, tiada apa yang mampu aku lakukan. Sehingga suasana di ruang tamu sedikit redha dari manusia yang datang melawat, aku dan adik-beradik ku pergi melihat Nyai. Duduk di sekeliling Nyai, turut sama membacakan yasiin bersama sepupu-sepupuku yang lain. Bila Abang Mie membuka selimut yang menutupi muka Nyai, aku melihat dari jauh...sambil meneruskan bacaan ku. Usai membaca, abah datang untuk menutup kembali. Aku bingkas bangun untuk melihat Nyai. Ku cium dahi Nyai. Sejuk! Perlahan-lahan wajahku ku angkat. Ku renung dalam-dalam. Abah cakap, Nyai tidur...Aku kembali menangis. Cuba kutahan dari teresak. Abah mengusap belakangku, seakan memberi semangat.

Aku kembali berundur. Menenagkan diri sebelum turun dari ruang tamu.

Sunday, June 19, 2011

Tribute to...

...Nenda tercinta (I)

Di bawah sebuah pohon yang rendang dan rimbun
dibasahi embun pagi yang sejuk dan suci
seorang hamba dan khalifah Allah
bersama amalan-amalan dan pengorbanan
disemadikan dalam ketenangan dan kedamaian
buat selama-lamanya...

Empat dekad yang lalu kau mejadi balu
tekadmu kekal hanya mahu menjadi ibu
walaupun kau masih muda
kau tak endahkan sapaan mereka
bagaikan kau tak rela kami dianaktirikan

Kaulah yang menjadi ayah
membanting tulang empat kerat
berbakti pada bumi sekangkang kera
memnjadi buruh dan mengambil upah
demi menyara kami yang yatim

Betapa luhurnya jiwamu
kaulah sentiasa di samping kami
dalam lapang dan derita
walaupun kau tak berdaya
tetap kau berkorban sedayamu

Ibu
inspirasi hidupmu kan kami damba
penuh shadu dalam lipatan kalbu
kan tetap kami titipkan
agar limpahan ramat Ilahi bersamamu
cahaya Ilahi menerangi kehidupanmu di taman syurga

Bonda...
Ma'afkan anakanda...ma'afkan anakanda...ma'afkan anakanda
tak berkempatan ku berada di sisimu
ku bergegas agar ku dapat mendakapmu
tika kau hembuskan nafasmu yang terakhir
tapi takdirMu ya Allah mengatasi segala..

...Ibu
biarlah kucupan terakhirku ikatan kita
sebelum wajahmu
diselaputi selimut putih dan kelembutan kapas
ku bisikan janji kalbuku padamu saat itu
Kita kan berjumpa di tempat yang amat indah dan bahagia
dengan redhaNya...kekal selama-lamanya

Ya Allah perkenankanlah janjiku...
Ameen ameen ameen Ya Rabbal Alamin

38 jalan 11
Taman Gombak

3.30 petang (Selasa 12 Rejab 1432/14 Jun 2011) 
saat HIJRAH bondaku ke alam baqa'
(HIGHLY INSPIRED JOURNEY REACHING ALLAH'S HAPPINESS)
Jazakumullah khayran kathira di atas sokonganga dan doa kalian

Samsuri & Zaiton sekeluarga
(nukilan oleh abah tersayang)

Wednesday, June 8, 2011

Kalam-Nya

"Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?
 Maka Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenarnya: Tidak ada Tuhan selain Dia. Tuhan (yang mempunyai) 'arasy yang mulia. 
Dan barang siapa menyembah Tuhan yang lain di samping Allah, padahal tidak ada suatu dalil pun baginya tentang itu, maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang kafir itu tiada beruntung.
Dan katakanlah: 'Ya Tuhanku berilah ampun dan berilah rahmat yang paling baik'"
(Al-mukminun:115-118)

Kita selalu lupa hakikat penciptaan kita...
Dijadikan bukan untuk bersuka ria sahaja
Dia memahami kita...
Tapi kita sukar untuk menoleh dan tunduk pada-Nya
Kemudian,
Dia memberi petunjuk pada kita
"Dan katakanlah:"Ya Tuhanku, berilah ampun dan berilah rahmat yang paling baik.amin