16.11.19
Hari Pertama
Hari yang begitu mendebarkan saat menerima panggilan kecemasan itu. Tika aku masih di Bangi atas urusan kerja, dan dikau telah dikejarkan ke HKL dengan ambulans.
Bergegas ke HKL jam 9.18 dari Bangi dengan perasaan bercampur-baur. Hati terusan berdoa agar dikau dalam peliharaan-Nya. Saat mendapat khabar itu, diriku sudah tidak lagi dapat berfikir dengan tenang. Hanya ingin terbang sepantasnya sampai.
10.26 pagi selamat tiba di HKL disambut abah. Abah juga bantu meletakkan kereta, untuk aku bergegas masuk ke resus. Saat mencarimu, dada ini berdebar-debar hebat. Tidak kelihatan dirimu dimana-mana. Pihak hospital mengkhabarkan bahwa dikau telah dibawa untuk CT-Scan.
Dibantu oleh staf-staf HKL, akhirnya aku berjaya jumpa dewan CT-Scan. Untuk sekian lama rasanya, hampir goyah berdiri melihatmu terbaring berdarah. Allah, peliharalah dia!
Menggenggam tanganmu erat, sedaya mungkin menahan air mata mengharap ini dapat memberi semangat padamu. Prosedur perlu diteruskan doktor dan aku kembali kepada abah yang menunggu di bahagian luar.
Benteng air mata yang ditahan-tahan berjujuran saat mata bertemu mata dengan abah. Menangis semahunya dihadapan abah. Allah peliharalah dia!
Memberi khabar ini kepada mentua dan ipar-duai bukanlah suatu yang mudah. Harus bertutur jelas. Berat untuk aku mengulang-ulang bicara namun mereka punya hak untuk dimaklumkan. Berbicara berkali-kali membuka sebak didada, membuktikan ini bukanlah mimpi.
Sehingga lewat petang, diberitakan tiada kecederaan dalaman, hati menghela lega. Menatap wajahmu menambah pilu. Sakit. Kesakitan yang dirasaiku, pastilah dirimu lebih merasai sakitnya.
Hari-hari untuk pulih baru bermula. Moga-moga kita sama-sama kuat menghadapinya. Moga kita sama-sama tabah.
Sesungguhnya aku bersyukur dikurniakan insan-insan yang sangat memberi sokongan dan membantumu saat dan detik ia berlaku. Terima kasih tidak terhingga diucapkan pada semua.
Menulis kerana perlu untuk meneruskan perjalanan, mencari kekuatan.
Inilah Memori Kita