Tuesday, January 23, 2018

Permulaan dari sambungan

Tahun 2018.

Pernah dahulu, aku berfikir. Berapa lama lagi aku disini, bersama kerja yang bukan passion, bahkan bilakah aku bisa mengejar impianku sendiri.

Sekarang, sudah tiga tahun menghampiri empat tahun aku disini. Ya, berada dalam zon selesa itu lebih mudah berbanding membulat tekad untuk terbang mencapai impian. Mungkin, kerana situasi jua membuat aku tekad untuk keluar dari zon selesa. Pastinya ini satu rentetan perjalanan yang bisa aku lalui dalam redha. Cukup hampir empat tahun berkhidmat. Begitu banyak ilmu dan pengalaman yang ku perolehi, yang ku yakin bakal membantuku suatu masa nanti. Ia pengalaman berharga, dan aku hargai selama berada di sini. Ini merupakan satu peluang buatku untuk lebih fokus pada cita-citaku yang tak pernah padam.

Pernah dahulu aku menulis berkenaan impianku dan kepercayaanku pada jalan-jalan yang kulalui dulu akan membawa kepada aku sekarang.

Saat membaca semula coretan itu, aku kembali melihat sinar dihujung perjalanan ini. Inilah jalan yang harus kulalui. Inilah langkah yang perlu dan telah ku ambil demi mencapai impian. Bahkan, telah termakbul sebahagian impian itu. Sungguh bersyukurlah insan, demi Dia telah memakbulkan doa-doa kita. Hadir saat yang bertepatan dengan keperluan kita.

Perjalanan kita masih panjang. Banyak lagi yang bisa dilaksanakan. Barangkali, benar, memperbaharui Iltizam dan Azam itu perlu. Mengimbau dan meneroka liku-liku perjalanan lalu dan langkah-langkah sekarang. Dimanakah kita. Tercapaikah atau setapak lagi.

Akhirnya, rekod penulisan lalu memberi sesuatu pada diriku sekarang. Aku telah bergerak, dan tidak lagi terhenti.

Masa sentiasa bergerak, dahulu aku terhenti
Masa terus bergerak, aku sedang berjalan
Masa takkan pernah berhenti, aku akan terus berlari

Dan,

Rekod-rekod penulisanku bakal menjadi saksi
Aku dahulu pernah berhenti
Dalam dimensi masaku sendiri
Aku mula bergerak perlahan
Tetap maju kehadapan
Aku mengejar impian
Dalam dimensi waktuku.