Sunday, May 14, 2017

Aku Bukan Malaikat

Menjadi seorang ibu itu bukanlah menjadi yang sempurna
Menjadi seorang ibu itu tetaplah seorang insan,
Yang kadang dihujani kelelahan mehnah dunia
Yang kadang khilaf dalam mendidik
Menjadi ibu memerlukan kesenian
Dalam membentuk insan acuan syariah-Nya
Menjadi seorang ibu itu terus-terusan disalah erti
Saat anak tidak memahami hikmah
Saat anak tidak mengerti lelahnya ibu
Menjadi seorang ibu itu menerima taklif
Seumur hidup itu menjalani amanah-Nya
Menjadi seorang ibu itu mendoakan yang terbaik buat anak-anaknya
Mendoakan hikmah dititipkan pada setiap perjalanan anak-anaknya
Menjadi seorang ibu itu dihantui rasa bersalah
Dalam mendidik,
Pada kurangnya pengalaman
Pada kurangnya ilmu

Kerna ibu juga insan
Datang anaknya tika ibu gembira
Datang anaknya tika ibu bersedih
Datang anaknya tika ibu tertekan
Datang anaknya tika ibu lelah dan letih
Kerna ibu menerima taklif
Seumur hidup menjalani amanah-Nya

13/05/17

p/s: Best wishes to dear Ibu. Semoga perjalanan umurmu diberkati-Nya
090517

Tuesday, May 9, 2017

"Laut berperenggan warnanya, kata seorang kawan dari Pantai Timur; perahu mudah menggambarkan kesayuan; nelayan melambangkan kegagahan yang pilu."

 Bacaan Mira terhenti. Asyik benar buku Langit Petang tulisan sumber inspirasinya, A. Samad Said. Sungguhpun terkadang Mira terpaksa berulangkali membaca perenggan yang sama untuk memahami penulisan sasterawan negara, hatinya tersentuh dengan puitisnya ayat ini.

Sebenarnya, bukan kerana ayat puitis itu menyebabkan Mira terhenti bacaannya. Malahan kerna ia mengingatkan Mira pada satu susuk yang dikaguminya, yang hilang entah tanpa berita. Mungkin sahaja dia telah menjalani hidup sebagai nelayan seperti angan-angannya. Mungkin juga dia telah terbang merentasi awan dan benua demi sebuah cita-cita.

Sungguhpun begitu, dimana jua dia berada, Mira hanya bisa mengirim doa semoga sahaja Tuhan memelihara insan-insan yang Mira sayangi dan kagumi. Biarpun sejauh 7 benua terpisahnya Mira dan mereka, Mira berharap kita sedang mengait impian yang diikrarkan bersama dahulu. Biarpun cabaran dan adakalanya lelah datang menghinggap diri, kita tidak pernah berhenti mengait impian itu.

Barangkali sahaja, ada antara kita yang telah berjaya mencapai impian itu. Mungkin sahaja ada antara kita yang masih terkial-kial memulakan jalan menuju impian itu. Tapi, Tuhan tidak sahaja melihat hasil bahkan usha kita dalam mencapai impian.

Mungkin kita bakal berpergian dahulu sebelum selesai mengait impian. Biarpun itu takdirnya, semoga Tuhan menerima usaha kita.

Tuhan, semoga insan-insan istimewa ini Engkau pelihara dan dalam rahmat-Mu.

Mira tersenyum syahdu dan diam berdoa pada Al-khaliq

May 9, 2016